Friday, January 6, 2017

Lambakan Kerja Kosong Didaftarkan Di Jabatan Tenaga


Sebanyak 1,647 kerja kosong dilaporkan oleh majikan kepada Jabatan Tenaga Rakyat (JTR) pada minggu lepas (7 November - 13 November) berbanding dengan 1,599 kekosongan pada minggu sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak tiga peratus.
Kenyataan Kementerian Sumber Manusia hari ini menyebut bahawa sejak Januari sehingga 13 November lepas sejumlah 95,786 kekosongan jawatan dilaporkan oleh majikan kepada JTR.
Angka ini merupakan sebahagian daripada kekosongan yang wujud memandangkan majikan tidak diwajib melaporkan kekosongan kepada JTR.
Dari segi pencari kerja baru pula, seramai 2,022 orang mendaftar dengan JTR pada minggu lepas berbanding 1,833 orang pada minggu sebelumnya.
Daripada jumlah itu 17.5 peratus atau 353 orang terdiri daripada pendaftar yang mempunyai pekerjaan.
Seramai 292 pekerja diberhentikan oleh majikan untuk tempoh 31 Oktober - 13 November berbanding 169 pekerja pada minggu sebelumnya.
Pulau Pinang mencatat jumlah pemberhentian pekerja yang paling tinggi iaitu sejumlah 178 pekerja atau 61 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diberhentikan.
Tiada pemberhentian kerja dilaporkan di Kelantan, Melaka, Pahang, Perak dan Terengganu, menurut kenyataan itu.
Pemberhentian mengikut sektor pula tertumpu kepada sektor pembuatan (55.5 peratus atau 162 pekerja) dan perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel (29.1 peratus atau 85 pekerja).